Ledakan Winks legakan Spurs

LONDON, 21 Jan – Jaringan pertama Harry Winks sejak 2016 membantu Tottenham Hotspurs menang 2-1 ke atas Fulham, namun Dele Alli terpaksa direhatkan sekali gus menyertai senarai panjang kecederaan skuad bimbingan Mauricio Pochettino.

Kehilangan khidmat Harry Kane hingga Mac depan susulan kecederaan ligamen buku lali, sementara, Son Heung Min membantu skuad negaranya, Korea Selatan dalam saingan Piala Asia.

Ketiadaan Alli dalam tempoh beberapa minggu akan datang memberi tamparan hebat kepada Spurs yang mencabar empat perlawanan.

Namun, Spurs kekal menghuni di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris dan sekurang-kurangnya sedikit berasa lega dengan perbezaan tujuh mata di depan pasukan tangga kelima Arsenal dan Manchester United dalam perebutan penamat empat teratas.

Spurs akan berkunjung ke Chelsea bagi perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga pada Jumaat ini dengan kelebihan 1-0 dan berdepan Crystal Palace pada pusingan keempat Piala FA hujung minggu depan.

Harri Winks (kanan) meraikan gol keduanya bersama rakan sepasukan ketika menentang Fulham di Craven Cottage, kelmarin. – AP

Kane dan Alli turut diramal tidak cergas sepenuhnya untuk berdepan Borussia Dortmund pada aksi Liga Juara-juara pada 13 Februari depan.

“Ia tidak membimbangkan, ia peluang besar kepada pemain lain untuk tampil beraksi,” tegas Pochettino penuh yakin.

“Sudah tentu tanpa kehadiran Kane dan kini Alli ia tidak mudah. Tapi kami perlu ke sana (ke Chelsea), cuba menang dan layak ke final.”

Sementara itu, Fulham kini tujuh mata berbanding zon selamat dan kelihatan pasti kembali ke Liga Kejuaraan selepas hanya semusim di liga utama.

Namun pengendali Claudio Ranieri tetap percaya pasukannya mampu bertahan di liga utama sekiranya skuad kendaliannya itu mampu mempamerkan aksi konsisten seperti separuh masa pertama.

“Kami masih bernafas, kami terus berjuang.

“Pasukan ini mempamerkan persembahan fantastik. Saya hanya boleh katakan mereka sudah melakukan yang terbaik tapi kami perlu bertindak bijak hingga ke penamat,” kata Ranieri – AFP