MANCHESTER, 27 Sept – Rembatan menarik Kevin De Bruyne dan gol lewat Raheem Sterling mengekalkan prestasi hebat Manchester City dengan kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara ke atas Shakhtar Donetsk awal pagi tadi.
De Bruyne menembusi gawang Shakhtar pada minit ke-49 dengan rembatan menarik dari jarak 20 ela ke sudut atas gawang Shakhtar.
Ia adalah gol pertama pemain dari Belgium untuk City musim ini, gambaran bagi peranan barunya di bawah kendalian Pep Guardiola, tetapi satu gol berbaloi dinantikan memandangkan kualitinya.
Meskipun penyerang City, Sergio Aguero gagal menyudahkan satu penalti, penamat Sterling pada minit ke-89 dari jarak 12 ela, selepas satu larian dan hantaran dari Bernardo Silva, menebus kekecewaan rakan sepasukannya dan melengkapkan kemenangan City di Eastlands.

Aguero mungkin menggandakan kelebihan, dan menyamai rekod jaringan City 177 gol yang dipegang oleh Eric Brook pada tahun 1930-an, selepas Leroy Sane dijatuhkan oleh Ivan Ordets selepas 71 minit.
Tetapi Aguero melakukan sepakannya terlalu dekat dengan penjaga gol, Andriy Pyatov, yang melompat ke kanan untuk menyelamatkan penalti itu.
“Separuh masa pertama kami mempunyai sedikit masalah kerana kami tidak membuat hantaran cukup banyak,” kata Guardiola.
“Separuh masa kedua lebih baik, jauh lebih baik. Pujian harus diberikan kepada pemain saya hari ini. meskipun ketika kedudukan 1-0, kami masih stabil.” – AFP