Tuesday, February 18, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lee Chong Wei kenal pasti pengganti

    GEORGE TOWN, 31 Mei – Jaguh perseorangan Malaysia, Datuk Lee Chong Wei memberi bayangan pemain remaja negara, Lee Zii Jia, Cheam June Wei dan Tan Jia Wei, bakal menjadi penggantinya apabila beliau bersara daripada arena badminton antarabangsa.

    Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 36 tahun itu, berkata beliau gembira menyaksikan beberapa pemain remaja negara menunjukkan peningkatan dalam permainan dan berjaya memenuhi harapan yang disandarkan kepada mereka terutamanya Zii Jia, June Wei dan Jia Wei.

    “Kita perlu mengasah pemain muda ini, menggalakkan mereka berusaha keras untuk mencapai matlamat dan saya gembira melihat mereka berjaya meningkatkan permainan masing-masing dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima insentif tunai daripada kerajaan Pulau Pinang di sini hari ini.

    Beliau juga berharap kesemua pemain muda negara terus berusaha keras dan memperbaiki ranking dunia masing-masing bagi membolehkan mereka beraksi pada lebih banyak kejohanan Terbuka.

    Lee Chong Wei (dua kiri) dan Chan Peng Soon bergambar dengan media selepas menerima Insentif Skim Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS), semalam. – Bernama

    Pemain ranking ketujuh dunia itu juga menggesa rakan sepasukan dalam skuad negara supaya melupakan kekecewaan apabila tumpas 1-3 kepada Indonesia di peringkat suku akhir Piala Thomas, dan membuat persediaan rapi bagi menghadapi kejohanan besar seterusnya.

    “Kita harus menerima kekalahan pada Piala Thomas dan bangkit bertenaga bagi menghadapi kejohanan akan datang,” katanya.

    Pada saingan Piala Thomas di Bangkok minggu lepas, Chong Wei masih menjadi sandaran skuad negara apabila beliau memenangi kesemua perlawanan dalam aksi peringkat Kumpulan D menentang Rusia dan Denmark, dan ketika berdepan Indonesia di peringkat suku akhir.

    Chong Wei, bagaimanapun memberi bayangan beliau akan bersara selepas Sukan Asia di Jakarta, Indonesia, dari 19 hingga 28 Ogos depan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda