Lee Hsien Loong angkat sumpah PM Singapura

SINGAPURA, 27 JULAI – Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) Lee Hsien Loong mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Singapura dalam satu upacara mengangkat sumpah di Istana hari ini.

Upacara itu berlangsung di hadapan Presiden Singapura Halimah Yacob.

Lee, 68, mengumumkan barisan kabinet baharunya pada 25 Julai selepas parti diterajui beliau, PAP mengekalkan kuasa dalam pilihan raya umum republik itu pada 10 Julai lalu.

Pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya umum keempat Lee bertanding.

Heng Swee Keat kekal sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan serta menggalas tanggungjawab tambahan selaku menteri penyelaras bagi Dasar-dasar Ekonomi.

Dua menteri kanan Teo Chee Hean dan Tharman Shanmugaratnam masing-masing kekal sebagai menteri penyelaras bagi Keselamatan Negara dan menteri penyelaras Dasar-dasar Sosial.

Masagos Zulkifly, Indranee Rajah, Grace Fu, Lawrence Wong, Ong Ye Kung, Desmond Lee mendapat portfolio baharu sementara Dr Maliki Osman dan Edwin Tong dinaikkan pangkat sebagai menteri.

Manakala, Chan Chun Sing, S Iswaran, Ng Eng Hen, Vivian Balakrishnan, K Shanmugam, Gan Kim Yong dan Josephine Teo masing-masing kekal sebagai menteri dengan portfolio sebelum ini. PAP yang diterajui Lee memenangi 83 daripada 93 kerusi parlimen yang dipertandingkan. – Bernama