Lee Hui Xian sumbang emas buat Sarawak

IPOH, 11 Sept – Atlet wushu Sarawak, Lee Hui Xian akhirnya menamatkan badi sejak 2014 apabila berjaya meraih pingat emas pertama buat dirinya dan kontinjen Sarawak dalam acara itu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak.

Atlet berusia 18 tahun itu mengumpul catatan mata terbaik 9.54 untuk muncul pemenang pingat emas kategori Nandao Wanita (pedang), 0.19 mata di hadapan pemenang pingat perak dari Melaka, Tan Cheong Min yang mengumpul 9.45 mata manakala peserta tuan rumah, Perak, Wong Xin Yi sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa (9.35).

Pada temasya Sukma 2014 di Perlis, Hui Xian meraih pingat gangsa kategori Gunshu dan pada edisi 2016 di Sarawak pula, beliau meraih pingat perak bagi kategori yang sama.

Mengulas persembahannya pada hari ini, atlet itu ternyata berpuas hati dengan kejayaan merangkul emas dan menyifatkan penantian, kesabarannya dan usaha kerasnya selama ini berbaloi.

Atlet wushu Sarawak, Lee Hui Xian berjaya meraih pingat emas pertama buat dirinya dan kontinjen Sarawak dalam kategori Nandao Wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 di Dewan Kolej Matrikulasi Gopeng, kelmarin. – Bernama

“Saya berterima kasih kepada keluarga yang banyak memberi sokongan dan juga jurulatih yang memberi tunjuk ajar sehingga saya berjaya mendapat emas pada kali ini,” katanya kepada Bernama.

Hui Xian turut mempunyai sasaran terbaharu selepas memenangi pingat emas hari ini apabila memberitahu beliau meletakkan sasaran untuk membuat penampilan di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

“Saya akan berusaha untuk menempatkan diri dalam dalam barisan skuad kebangsaan dan menjelang umur saya 20an, saya mahu mewakili negara ke Sukan Asia,” katanya yang mengakui filem kung-fu banyak mempengaruhi beliau pada awal penglibatanya dalam sukan berkenaan. – Bernama