Lee yakin S’pura berjaya harungi ‘ribut’ COVID-19

SINGAPURA, 9 OGOS – Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menzahirkan keyakinan republik itu akan berjaya mengharungi krisis ekonomi yang dialami ketika ini disebabkan pandemik COVID-19 global berikutan ia pernah mengalami tiga krisis sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata kali ini ia mungkin mengambil masa lebih lama.

Lee memberikan contoh bahawa pada suku akhir abad ini, negara mengalami Krisis Kewangan  Asia (1997-1998), impak daripada serangan pengganas 9/11 (2001), dan Krisis Kewangan Global (2007-2009).

“Setiap kali, unjurannya adalah suram, dan kita bimbangkan yang terburuk, tetapi pada setiap kalinya kita berusaha keras untuk menjamin kedudukan kita, cekalkan hati, dan berjaya mengharunginya,” katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan 2020 hari ini.

Hari Kebangsaan Ke-55 Singapura disambut hari ini tetapi majlis sambutan utama, perbarisan di Padang di sini, diadakan pada skala lebih ringkas disebabkan pandemik itu.

Lee mengambil perhatian bahawa kemungkinan besar akan mengambil masa satu atau dua tahun sebelum vaksin dipasarkan secara meluas, dan ancaman virus itu dapat dikekang. Oleh itu, beliau menegaskan daya tahan diperlukan dalam mendepani kemerosotan ekonomi yang teruk.

Perdana menteri berkata Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) Singapura pada tahun ini merupakan peluang untuk negara memberi penghargaan kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan dalam memerangi COVID-19, serta pesara doktor dan jururawat yang secara sukarela kembali bekerja, anggota pasukan keselamatan sepenuh masa, pegawai sektor awam, ribuan suka-relawan Singapura yang dilatih menjalankan operasi ujian swab, serta pekerja migran.

Perutusan Hari Kebangsaan Lee bermula dengan NDP2020, disusuli perbarisan di Padang yang turut dihadiri Presiden Singapura Halimah Yacob.

Juga diadakan acara simbolik yang lain, dengan setiapnya mewakili satu aspek daripada langkah diambil negara pulau ini untuk menangani COVID-19.

Bernama diundang untuk hadir di satu daripada lokasinya, Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), yang melambangkan penyediaan penjagaan kesihatan kepada rakyat Singapura dengan pengerusi bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian bagi COVID-19 dan Menteri Kesihatan Gan Kim Yong mengetuai acara menyanyikan Lagu Kebangsaan dan menaikkan bendera di pusat itu.

Acara utama lain adalah jet pejuang F-15SG Tentera Udara Republik Singapura melakukan penerbangan mengelilingi pulau ini manakala di darat pula, pasukan bergerak membabitkan 66 aset daripada Angkatan Tentera Singapura, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Pasukan Polis Singapura turut melakukan perjalanan rentas pulau.

Penerjun Red Lions (payung terjun) tampil membuat aksi istimewa di beberapa lokasi terpilih manakala 13 kapal Tentera Laut Republik Singapura, Polis Pengawal Pantai, Pasukan Pertahanan Awam Singapura dan Pihak Berkuasa Pelabuhan turut melakukan lintas hormat maritim di perairan di Marina Bay.

Setakat semalam, jumlah kes COVID-19 di Singapura berjumlah 54,929 kes dengan bilangan yang sembuh sebanyak 48,312 (88 peratus) dan kematian berjumlah 27 (0.05 peratus). – Bernama

 

Anggota tentera Singapura kelihatan dari dalam kenderaan perisai mereka ketika berarak di daerah kewangan bagi Sambutan Hari Kebangsaan ke-55 Singapura, 9 Ogos. – AFP