Tuesday, October 15, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lefestour platform terbaik usahawan Sabah tingkat kebolehpasaran produk

    TAWAU, 16 Okt – Karnival Lefestour yang mempromosikan fesyen, pakaian dan makanan boleh diangkat sebagai platform terbaik untuk meningkatkan kebolehpasaran produk dan perkhidmatan yang ditawarkan usahawan Sabah ke seluruh Malaysia.

    Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata pelbagai produk usahawan Sabah berpotensi untuk dipasarkan ke Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

    “Karnival Lefestour di Tawau ini mendapat sambutan menggalakkan dan difahamkan kira-kira 100,000 orang hadir memeriahkan karnival yang disertai 100 gerai jualan usahawan termasuk 20 gerai milik usahawan Sabah.

    “Jika boleh Lefestour akan datang melibatkan lebih ramai penyertaan usahawan Sabah kerana kita ada banyak produk inap desa yang boleh dipasarkan kepada pengunjung,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan Lefestour 9.0 di sini.

    Dalam pada itu beliau berharap penganjur karnival tersebut dapat membawa Lefestour ke kawasan luar bandar termasuk Kota Marudu, Semporna dan Lahad Datu pada tahun depan.

    Sementara itu, ketua jawatankuasa penganjur Lefestour yang juga pelakon tanah air Didie Alias berkata karnival tersebut akan dijadikan acara tahunan.

    “Tahun depan Lefestour akan menjelajah tiga lokasi di Sabah dan lokasinya akan ditentukan kemudian.

    “Sambutan Lefestour di Tawau ini merupakan yang paling besar dan kita berharap masyarakat di Sabah terus memberi sokongan kepada Lefestour,” katanya menambah sebelum ini karnival itu diadakan di Kota Kinabalu.

    Beliau berkata pada tahun depan Lefestour akan diadakan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda