PRAGUE, 29 Jan – Finalis Terbuka Australia, Petra Kvitova mengatakan pengakhirannya di Grand Slam sebagai ‘nasib malang’ selepas berdepan tempoh peralihan selama dua tahun susulan serangan pisau yang hampir memusnahkan kariernya.
Selepas hanya bermain dua perlawanan suku akhir Grand Slam sejak menjulang gelaran Wimbledon pada 2014, Kvitova pernah berjenaka tahun lalu bahawa dia berkemungkinan ‘berhenti’ beraksi bagi empat kejohanan utama tenis dunia.
Namun begitu, Terbuka Australia tahun ini memberi gambaran berbeza buat pemain kidal dari Czech itu selepas tidak melepaskan sebarang set untuk mara ke final, sebelum tewas di tangan pemain terkenal Jepun, Naomi Osaka dalam saingan tiga set, hujung minggu lalu.
“Saya gembira jenaka itu tidak menjadi kenyataan,” kata pemain berusia 28 tahun itu, yang pernah menjulang gelaran Wimbledon pada 2011 kepada pemberita di Prague. “Saya menganggapnya sebagai ‘ganti rugi’ setelah tiba beraksi dengan baik pada Grand Slam tahun lalu,” tambah Kvitova, yang pernah mara ke fasa 32 terakhir pada Terbuka Perancis dan Amerika Syarikat, selepas mengundurkan diri pada halangan pertama Terbuka Australia dan Wimbledon.
“Saya tidak gembira selepas kekalahan itu tetapi kini perkara positif mula berlaku. Saya berasa bagus sepanjang tiga minggu beraksi di Australia,” kata pemain itu yang kini menduduki ranking nombor dua dunia.
Permulaan Kvitova tahun ini tidak begitu memberangsangkan apabila tewas di Brisbane pada pusingan 16 terbaik, namun dia kembali bangkit di Sydney seminggu kemudian, yang pada awalnya tidak menjangka untuk menyertainya.
Selain pertembungan di gelanggang, Kvitova turut bergelut dengan memori hitam yang menyaksikannya diserang perompak di kediamannya di Czech, yang mengakibatkan luka yang dalam di tangan kirinya pada Disember 2016. – AFP


































