SEMATAN, 2 Feb – Laluan Telok Melano-Sematan (TMS) sepanjang 1,060 km daripada Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak adalah warisan peninggalan Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut Fadillah, rancangan asal ialah untuk membina lebuh raya dari Sematan ke Miri sahaja tetapi atas permintaan Adenan semasa beliau menjadi ketua Menteri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan pakej Laluan Telok Melano membabitkan kos tambahan sebanyak RM580 juta bagi kerajaan.
“Jadi ini adalah legasi peninggalan Tok Nan,” katanya pada sidang media selepas melawat ke tapak projek di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata ia hanya jalan raya dua lorong mengikut piawaian JKR R5 dan apabila siap ia akan memberi manfaat kepada 8,000 penduduk yang tinggal di sepanjang jalan tersebut.
Fadillah berkata selepas melawat tapak projek itu bahawa beliau gembira dengan kemajuan kerja-kerja walaupun ia lewat sedikit daripada jadual.
“Kerja-kerja kini di peringkat 18 peratus walaupun ia sepatutnya 21 peratus mengikut jadual tetapi ini perkara biasa disebabkan faktor cuaca.
“Saya yakin kontraktor (Samling Resources Sdn Bhd) boleh menyiap projek mengikut jadual (6 Januari 2019), kata beliau.
Kerja-kerja pembinaan lebuh raya sepanjang 32,770 km itu bermula pada 7 Oktober 2015. Fadillah berkata pampasan bagi pengambilan tanah, tanaman dan harta berjumlah RM13.8 juta telah dibayar sepenuhnya kepada pemilik tanah.
Fadillah berkata 70 peratus daripada kerja-kerja kontrak untuk sebelas pakej keseluruhan Lebuhraya Pan Borneo telah dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang berpusat di Sarawak, manakala 30 peratus ialah usaha sama dengan syarikat-syarikat yang disenaraikan. – Bernama