Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Legasi warisan rempah sate nenek turun temurun

    Oleh Lenna N.B.

     

    DI bawah matahari yang panas terik, Awang Salim berjalan membawa beban di atas bahunya dengan hanya beralaskan kayu, susah payah mengangkat barang dagangannya.

    Beliau berjalan kaki, menuju sebuah rumah ke sebuah rumah. Jika ada yang ingin membeli sate, barulah Awang Salim menurunkan beban di atas bahunya dan mula memanggang sate di hadapan pelanggannya. Mungkin pada zaman itu, hanya beliaulah yang menceburi di bidang niaga sate.

    “Sate arwah dikenali juga dengan panggilan Salim’s Sate, Sate Awang Salim, Sate Salim atau Sate Haji Salim, yang sudah diketahui kewujudannya sejak tahun 1948. Malah, mungkin lebih awal daripada tahun itu. Pengasasnya adalah arwah nenek saya sendiri, Haji Awang Salim bin Awang Damit,” Haji Yuzza Hanisrn bin Haji Samsuddin, 50, mengimbas detik-detik kejayaan arwah nenek.

    Penerokaan rempah

    Bersumber azam yang kuat untuk mengubah kehidupan susah, arwah Haji Awang Salim telah melakukan kajian dan penerokaan bahan-bahan serta resipi pembuatan sate. Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, semangat beliau tetap kental untuk berjual sate. Daripada berjalan kaki, hingga mengayuh basikal, kemudian menggunakan kereta. Dagangan sate telah menjadi kerja tetap sepenuh masa.

    Sate Salim sentiasa mempertahankan dan mengukuhkan resipi istimewa rempah warisan arwah Haji Salim.
    Sate Salim sentiasa mempertahankan dan mengukuhkan resipi istimewa rempah warisan arwah Haji Salim.

    Ketika Haji Yuzza bersama anak beliau, menyalai sate di Pasar Malam Baru.
    Ketika Haji Yuzza bersama anak beliau, menyalai sate di Pasar Malam Baru.
    Sate Haji Salim yang lazat dinikmati bersama kuahnya.
    Sate Haji Salim yang lazat dinikmati bersama kuahnya.

    “Lama-kelamaan, perniagaan arwah nenek dikenali di dalam dan luar negara. Ramai tertarik dengan rempahnya yang asli, dan tidak pernah berubah walaupun telah diwarisi oleh anak-anak beliau, cucu serta cicit sebagai penerus kesinambungan Sate Salim. Kini, ia menjadi sumber ekonomi mata pencarian kami setiap hari.”

    Pasar malam pertama

    Setelah berpuluh tahun berpindah-pindah, bertapaklah Sate Salim di belakang bangunan pawagam Boonpang sekitar tahun 1980an yang kini menjadi tapak Bank Islam Brunei Darussalam. Pada ketika itu, kem-kem telah didirikan untuk peniaga-peniaga tempatan. Ia menjadi pasar malam pertama yang ditubuhkan di ibu kota.

    Selepas itu, Sate Salim juga pernah bertapak di Taman Selera lama yang terletak berhadapan dengan tanah perkuburan Sungai Kianggeh, sehinggalah tempat itu ditutup untuk tujuan pembangunan. Kini, walaupun Sate Salim sudah berkembang maju, mempunyai kira-kira lima cawangan sate, Pasar Malam baru yang dirasmikan pada awal Februari tahun ini telah memberi tapak perniagaan kepada Sate Salim yang bukan sahaja mampu memperkembangkan perniagaan Sate Salim tetapi memudahkan orang ramai mendapatkan sate istimewa keturunan Haji Awang Salim yang mungkin tidak diketahui kewujudannya selama ini.

    Penerus usaha nenek

    Haji Awang Salim mempunyai enam orang anak yang terdiri dua orang daripadanya perempuan. Manakala, cucunya pula berjumlah 21 orang.

    Di samping penglibatan adik-beradik yang lain bagi menjayakan perniagaan sate arwah nenek, Haji Yuza juga berancang untuk menurunkan resipi istimewa neneknya kepada anak beliau sebagai generasi penerus perniagaan sate Haji Awang Salim.

    Haji Yuzza Hanisrn bin Haji Samsuddin, ketika sedang ditemu ramah Media Permata baru-baru ini.
    Haji Yuzza Hanisrn bin Haji Samsuddin, ketika sedang ditemu ramah Media Permata baru-baru ini.
    Arwah Haji Salim bin Awang Damit.
    Arwah Haji Salim bin Awang Damit.
    Keluarga Haji Awang Salim ketika di London bersama nenek tercinta.
    Keluarga Haji Awang Salim ketika di London bersama nenek tercinta.
    Bangunan Pawagam Boonpang yang cukup dikenali pada ketika dahulu pernah menjadi tempat peniaga-peniaga Melayu berdagang.
    Bangunan Pawagam Boonpang yang cukup dikenali pada ketika dahulu pernah menjadi tempat peniaga-peniaga Melayu berdagang.
    Arwah Haji Salim bermula dengan hidup susah mengangkat beban di bahunya bersendirian dari rumah ke rumah.
    Arwah Haji Salim bermula dengan hidup susah mengangkat beban di bahunya bersendirian dari rumah ke rumah.

    “Saya sendiri adalah pewaris ketiga selepas ibu saya. Sejak kecil lagi, saya sudah pun ikut membakar sate. Saya adalah cucu nenek yang pertama,” ucap Haji Yuzza.

    Antara cawangan Sate Salim adalah di Tutong, Rimba, Muara, Serusop dan Pasar Malam yang diusahakan oleh anak-anak Haji Awang Salim sendiri. Satu amanat arwah untuk keturunannya adalah meminta mereka tidak mengubah rempah keturunan tersebut, yang menjadi rahsia kejayaan kewujudan Sate Salim hingga ke hari ini.

    “Alhamdulillah, pahit manis nenek kami mencari pendapatan telah kami rasai buahnya hingga ke hari ini. Nenek adalah seorang yang sangat rajin. Pemergiannya meninggalkan kejayaan dan kejayaan itu telah memberikan kami hidup serba cukup dan tidak susah.”

    Kesukaran sebalik berjual sate

    Secara kasarnya, kerja berjual sate agak mudah kerana si penjualnya hanya perlu membakar isi ayam, atau isi daging dan sebagainya atas bara api sambil menunggunya masak. Namun, sebalik kerja yang mudah itu sebenarnya terselit jerih payah si pengusaha.

    24 jam sebelumnya, isi ayam, daging atau sebagainya perlu di rempah agar rasanya berperam ke isi setelah dimasak. Pada keesokan harinya, barulah sate tersebut dapat dimasak dan si pemanggang perlu sentiasa mengawal bara api, agar sate dimasak dengan sempurna.

    “Begitulah kerja kami sehari-hari. Seperti kata arwah ayah, kualiti amat penting bukan kuantiti. Justeru itulah, kami perlu bersedia 24 jam sebelum berdagang. Memastikan setiap sate menepati rempah asli arwah nenek. Alhamdulillah dengan hanya membuka gerai selama empat jam, sate sudah habis dijual.”

    Menurut Haji Yuzza, sebelum ini sejak zaman nenek lagi, variasi sate yang dijual adalah berupa isi ayam, daging urat, dan hati kura. Isi daging yang terbaru adalah isi kambing, yang diinovasi dengan mengekalkan rempah tradisi arwah Haji Salim.

    Haji Yuzza ketika kecil sudah mula menyalai sate.
    Haji Yuzza ketika kecil sudah mula menyalai sate.

    “Saya masih ingat ketika zaman kanak-kanak, kami berebut mencucuk sate kerana nenek membayar upah $20 satu basin. $20 pada zaman itu sudah cukup besar.”

    Sekilas ingatan nenek tercinta

    Arwah Haji Salim telah meninggal dunia dalam tahun 2005 pada usia kira-kira 80 tahun. Sebelum pemergiannya, arwah sempat melihat sendiri kejayaan Sate Salim yang telah diusahakan oleh anak-anaknya. Haji Yuzza masih ingat bagaimana neneknya begitu kuat dan kental. Balik dari berniaga, beliau akan membuat rempah untuk sate. Selepas semuanya siap, barulah arwah melelapkan mata. Pada keesokan paginya pula, beliau bangun awal untuk membeli bahan-bahan di pasar.

    “Nenek memang tidak tahu erti letih. Jarang saya mendengar nenek mengadu atau merungut usianya yang semakin meningkat. Sebaliknya, beliau bekerja lebih gigih dan, bersemangat. Usia bukanlah penghalang untuknya berhenti berdagang. Di samping itu, nenek adalah orang yang ceria, penyabar, dan kental yang menjadi sumber inspirasi buat kami sehingga ke hari ini.”

    Detik paling manis bagi Haji Yuzza ketika bersama neneknya adalah apabila mereka dapat membawanya berlayar ke London kerana memang cita-cita nenek untuk sampai menjejakkan kaki di negara Barat. Walaupun sakit kaki, arwah Haji Salim begitu bersemangat dan tersenyum gembira, apatah lagi dengan isterinya yang berkerusi roda, turut ikut serta dalam pelayaran.

    “Itulah memori gembira bersama nenek laki dan nenek bini yang kami tidak dapat lupakan. Walau dengan kerusi roda pun, kami sanggup membawanya demi menggembirakan nenek. Harapan kami adalah untuk meneruskan perniagaan nenek hinggalah kepada generasi seterusnya dan sentiasa ingat pesan nenek, rempah Sate Salim yang tidak lupuk di telan zaman.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda