SAO PAULO, 7 SEPT – Bekas pemain hebat Brazil, Pele telah menjalani pembedahan yang disyaki tumor usus dan sedang dalam pemulihan, hospital Sao Paulo yang merawatnya mengumumkan kelmarin.
“Tumor dikesan semasa rutin kardiovaskular dan ujian makmal serta bahan telah dihantar untuk dianalisis,” kata hospital Albert Einstein, di mana Pele telah dirawat sejak 31 Ogos lalu.
“Saya bersyukur kerana keadaan bertambah baik,” tulis legenda berusia 80 tahun itu dalam Instagramnya semalam. “Saya akan bertarung sambil tersenyum, merasa optimis dan merasa bahagia kerana dikelilingi oleh keluarga dan sahabat.”
Pele bakal dikeluarkan dari unit rawatan rapi hari ini, menurut kenyataan hospital. Bekas kelabnya, Santos, mengongsikan pesanan berupa sokongan untuk bintang tersebut dalam Twitternya. “Ia akan menjadi satu lagi kejayaan dalam hidupnya, kami mendoakan agar cepat sembuh,” tulis kelab itu.
Pele, atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento, dilaporkan berada dalam keadaan kesihatan yang teruk sejak beberapa tahun kebelakangan, dan berulang kali dimasukkan ke hospital, terbaharu ialah pada April 2019, di Paris, disebabkan jangkitan saluran pundi kencing yang teruk.
Kembali ke Brazil, batu karang di bahagian buah pinggang berjaya dibuang. Pada penghujung 2014, dia menderita jangkitan saluran pundi kencing yang serius dan ditempatkan di unit rawatan rapi dan dianalisis.
Dia juga mempunyai masalah pinggang dan memerlukan alat bantu untuk bergerak semasa penampilan di khalayak ramai kali terakhir. – AFP
