LONDON, 13 DIS – Leicester meninggalkan Newcastle terus bergelut di zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 4-0 manakala Crystal Palace menang 3-1 berdepan Everton yang terus memberi tekanan terhadap Rafael Benitez kelmarin.
Walaupun berdepan penularan COVID-19 yang menyebabkan Brendan Rodgers tanpa tujuh pemain, Foxes memberikan Eddie Howe satu lagi peringatan mengenai tugas sukar dihadapinya untuk mengekalkan Newcastle dalam saingan EPL apabila Youri Tielemans meledak dua kali di King Power.
Howe boleh menggunakan sumber daripada kekayaan dana Arab Saudi pada fasa perpindahan Januari ini dan keputusan minggu ini menyebabkan mereka kekal tiga mata dari zon selamat.
Namun Newcastle akan berdepan Liverpool, Manchester City dan Manchester United dalam perlawanan berikutnya dan dengan persembahan dipamerkan, mereka pastinya bernasib baik jika dapat mengelak jaringan lebih besar di gawang mereka.
Leicester hanya menang dua daripada sembilan perlawanan terakhir semua kejohanan dan disingkirkan daripada Liga Europa oleh Napoli Jumaat lalu.
Mereka berjaya memperoleh jaringan sebelum tamat separuh masa pertama selepas James Maddison dijatuhkan Javier Manquillo dalam kotak penalti.
Youri Tielemans tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti sebelum Patson Daka menambah gol kedua pada minit ke-57 selepas menerima hantaran Harvey Barnes.
Tielemens meledak gol kedua peribadi hasil usaha berpasukan mantap dan Leicester mengesahkan kemenangan dengan jaringan keempat melalui Maddison lima minit sebelum perlawanan tamat.
Kemenangan itu membolehkan Leicester melonjak ke tangga kelapan dan kembali dalam pertarungan memburu kedudukan empat terbaik selepas mereka tersingkir di Liga Europa.
“Pemain beraksi dengan cemerlang ketika berdepan tempoh yang sangat mencabar selepas apa yang berlaku. Ia adalah ujian sebenar kekuatan mental mereka,” kata Rodgers. – AFP