Leicester sedia untuk ‘mengganas’ sekali lagi

LONDON, 21 SEPT – Brendan Rodgers berkata Leicester ‘bersedia untuk mengganas musim ini sekali lagi’ selepas mencatat dua kemenangan dari perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk meredakan kekecewaan penghujung musim lalu.

Bekas juara itu kini menduduki tangga teratas liga dengan perbezaan gol selepas menewaskan Burnley 4-2 kelmarin.

Kemenangan tersebut merupakan kemenangan ke-100 untuk Rodgers di EPL dari 210 perlawanan – Alex Ferguson, Kenny Dalglish dan Kevin Keegan adalah antara pengurus Britain yang telah mengecap pencapaian tersebut dalam perlawanan yang lebih sedikit.

Leicester telah kehilangan tempat di slot Liga Juara-Juara pada hari terakhir kempen musim lalu apabila mempamerkan prestasi hambar selepas bola sepak disambung semula akibat penggantungan koronavirus.

“Kami memulakan dengan baik, ia adalah penting kerana akan terdapat masalah jika kita tidak mengatasinya,” kata Rodgers.

“Tetapi kami bercakap mengenai tempoh pra musim yang singkat dan merasa bersedia untuk meneruskan perlawanan.

“Para pemain mempunyai motivasi yang baik, mereka telah menjaringkan tujuh gol dari dua perlawanan dan ini menunjukkan mereka sudah bersedia untuk menyerang musim ini sekali lagi”. – AFP