Leicester tundukkan Blues, pintas United di puncak

LEICESTER, 20 JAN – Leicester melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila berjaya mengalahkan Chelsea 2-0 di Stadium King Power semalam.

Dengan kekalahan itu memberi tekanan lagi ke atas pengurus Chelsea, Frank Lampard untuk mempertahankan kedudukannya di Stamford Bridge.

Skuad The Blues hanya menang dua daripada lapan perlawanan terakhir mereka di liga, turun ke tangga kelapan, sembilan mata di belakang pendahulu.

Chelsea sebelum ini dijangka sebagai antara pasukan pencabar gelaran EPL musim ini apabila berbelanja besar semasa musim jendela perpindahan lalu. Tetapi Leicester yang dilihat lebih mencabar untuk mengulangi kejuaraan mereka apabila mengejutkan dunia dengan memenangi gelaran EPL pada musim 2015-16.

Gelaran kedua dalam tempoh lima tahun bukan lagi kejutan buat Leicester, walaupun jurang kewangan antara The Foxes dan enam pasukan besar EPL amat jauh ketara.

Reaksi pemain Leicester ketika meraikan jaringan gol pembukaan pasukan semasa perlawanan EPL antara Leicester City dan Chelsea di Stadium King Power, England, semalam. – AP

Leicester kembali mencabar kelompok teratas EPL selepas Brendan Rodgers mengambil alih pasukan itu hampir dua tahun lalu.

Lampard tidak menurunkan dua pemain mahal yang dibeli pada musim panas, Timo Werner dan Hakim Ziyech yang berada di bangku simpanan, tetapi pemain termahal yang ditandatangani Chelsea, Kai Havertz kembali beraksi menggantikan N’Golo Kante yang menggalami kecederaan.

Kante adalah salah seorang bintang Leicester ketika mereka merangkul gelaran, tetapi Wilfried Ndidi telah membuktikan beliau sebagai pengganti yang layak selepas berjaya meletakkan Leicester di depan.

Kekalahan itu mungkin jauh lebih memalukan bagi Lampard sekiranya Leicester lebih klinikal pada separuh kedua. James Justin menanduk bola di gawang lawan tetapi sedikit tersasar sebelum Albrighton menjaringkan gol namun dibatalkan kerana ofsaid.

Lampard menurunkan Werner dan Ziyech pada minit ke-65.

Werner kini mencatatkan 11 perlawanan tanpa gol dan jaringan lewatnya di akhir perlawanan tidak diterima kerana ofsaid. – AFP