Leipzig benam Atletico, PSG menanti di suku akhir

LISBON, 14 OGOS – Leipzig telah mengejutkan Atletico Madrid 2-1 kelmarin untuk mara ke pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama selepas jaringan Tyler Adams pada minit ke-88 telah melayakkan mereka untuk bermain bertemu Paris Saint-Germain.

Atletico seakan terpaksa meneruskan permainan dalam masa tambahan di Estadio Jose Alvalade apabila Joao Felix telah dijatuhkan di kotak penalti dan dia telah menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan selepas Dani Olmo meletakkan Leipzig di hadapan menerusi tandukan pada awal perlawanan separuh masa kedua. Tetapi Adams telah menjadi wira yang tidak diduga buat Leipzig, dimasukkan dari bangku simpanan untuk merebut kemenangan di Lisbon selepas percubaannya terkena pemain pertahanan, Stefan Savic lalu masuk ke gawang.

Kemenangan menandakan malam bersejarah buat Leipzig, selepas ia ditubuhkan 11 tahun yang lalu dan bermain musim pertamanya dalam liga utama Jerman pada 2016.

Kemaraan ke separuh akhir telah menjadi satu lagi mercu tanda buat pengurus mereka Julian Nagelsmann, yang pasti akan menjadi rebutan selepas menyingkirkan Diego Simeone, salah seorang pakar teknikal dalam kejohanan tersebut. Cabaran mereka sekarang adalah untuk menewaskan PSG pada Selasa, juara Perancis itu hanya bermain tiga perlawanan dalam hampir setengah tahun dan berjaya menewaskan Atalanta pada minit akhir Selasa lalu. – AFP

Reaksi pemain-pemain Leipzig selepas mereka menyingkirkan Atletico Madrid dalam pusingan suku akhir Liga Juara-Juara. – AP