LEIPZIG, 14 Sept – Youri Tielemans menyamakan kedudukan seminit selepas jaringan pembukaan Emil Forsberg bagi RB Leipzig bagi menyelamatkan satu mata dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1 bagi juara Perancis, Monaco dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Dengan Leipzig membuat penampilan pertama mereka di kejohanan itu, gol Forsberg menggegarkan Red Bull Arena.
Ia akan tertulis dalam sejarah kerana ia merupakan gol pertama kelab di pentas terbesar Eropah, meskipun ia tidak mungkin gol terakhir mereka.
“Ia sesuatu yang istimewa untuk menjaringkan gol pertama Leipzig dalam Liga Juara-Juara,” kata Forsberg selepas perlawanan.
“Saya sangat bangga.”

Meskipun dengan kurangnya pengalaman mereka di tahap itu, Leipzig kelihatannya tidak gentar dalam pertembungan Kumpulan G itu.
Pemain remaja Dayot Upamecano begitu dominan di barisan pertahanan, sementara penyerang Timo Werner kelihatan berbahaya di bahagian serangan.
Dengan pertahanan Monaco kelihatan kukuh, dan pemain sayap mereka Djibril Sidibe dan Adama Diakhaby bergelut membuat serangan balas, tidak banyak peluang terhasil dalam setengah jam awal perlawanan.
Tetapi pada minit ke-33, Leipzig berjaya menembusinya. Pemain sayap Sweden, Forsberg menemui ruang di kiri dan merembat kencang menewaskan Diego Benaglio dari jarak dekat.
Kegembiraan itu bagaimanapun hanya bertahan selama seminit apabila satu hantaran lintang Sidibe menemui Diakhaby, yang menanduk ke tengah petak ke arah Tielemans untuk menewaskan Peter Gulacsi.
“Jurulatih memberitahu bahawa saya perlu bermain sebagai penyerang kedua dan bercakap dengan saya mengenai kedudukan, saya fikir ia berjalan dengan baik bagi saya,” kata Tielemans. – AFP