Lela Cheteria tempah kejayaan

Oleh Samli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia, Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz selaku Penaung Pasukan Lela Cheteria telah meraikan pasukan tersebut setelah berjaya mengharumkan Negara Brunei Darussalam dalam Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa FCAS Sabah kali kelima.

Pasukan Lela Cheteria telah menempah kejayaan dalam perlumbaan dengan membawa pulang dua piala kemenangan.

Dalam acara perlumbaan itu, Pasukan Lela Cheteria telah menduduki tempat kedua dalam Acara Campuran Antarabangsa 800 meter 20 Pekayuh dengan catatan masa 4:00:61, yang telah dijuarai oleh Pasukan China Guangdong dengan catatan masa 4:00:31.

Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bergambar bersama Pasukan Lela Cheteria.

Sementara itu, dalam acara Terbuka Antarabangsa 200 meter 12 Pekayuh, Pasukan Lela Cheteria telah menduduki tempat kedua dengan catatan masa 1:02:47, yang turut dijuarai oleh Pasukan China Guangdong dengan catatan masa 0:58:76.

Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa FCAS Sabah kali kelima tersebut telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 12 hingga 13 Mei lalu di Sabah, Malaysia.