Kelab EPL setuju latihan kontak

LONDON, 28 MEI – Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) sebulat suara mengundi untuk menyambung latihan kontak ketika liga utama England mengambil langkah signifikan untuk menyambung semula liga pada bulan Jun.

Liga Perdana Inggeris telah digantungkan pada bulan Mac akibat pandemik koronavirus, dengan Liverpool hanya memerlukan dua kemenangan untuk merangkul kejuaraan.

Kelab-kelab EPL kembali memulakan latihan dalam kumpulan yang kecil dan mengikut peraturan penjarakan sosial minggu lalu tetapi mereka telah melangkah ke tahap kedua ‘protokol kembali memulakan latihan’.

“Pemegang saham EPL hari ini memilih sebulat suara untuk meneruskan latihan kontak, menandakan satu lagi langkah untuk memulakan semula musim EPL, apabila ia selamat dilangsungkan,” menurut liga dalam satu kenyataan.

“Skuad kini boleh berlatih secara berpasukan dan mencuba memintas bola sambil meminimumkan kontak secara rapat yang tidak perlu.”

Pasukan Manchester City yang mengadakan latihan secara bersentuhan di padang latihan. Kelab-kelab EPL sebulat suara mengundi untuk menyambung latihan kontak kelmarin dan mengambil langkah signifikan untuk menyambung semula liga pada bulan Jun. – AFP

Keputusan itu dibuat setelah berunding dengan kelab, pemain, pengurus dan kerajaan.

Kelab-kelab yang telah menyelesaikan penilaian risiko yang diperlukan dijangka akan melangkah ke fasa baharu hari ini.

Kelmarin, EPL mengumumkan empat lagi pemain didapati positif koronavirus dari 1,008 ujian ke atas pemain dan kakitangan kelab.

Ini bermakna sebanyak 12 kes telah dikesan dari 2,752 jumlah keseluruhan ujian.

Dengan jumlah ujian positif yang kecil telah memberikan harapan untuk EPL menyambung semula liga pada bulan hadapan.

Dalam Liga Kejohanan (EFL), hanya tiga ujian positif dicatatkan dari 1,030 ujian. – AFP