Lelaki 20 tahun maut dalam kemalangan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Seorang lelaki warga tempatan berusia 20 tahun meninggal dunia awal pagi tadi akibat kecederaan teruk yang dialami setelah terlibat dalam kemalangan yang berlaku di kawasan pusingan U Jalan Badas, Seria, kelmarin.

Balai Polis Seria, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian berkenaan yang berlaku pada pukul 5:53 pagi dan melibatkan dua buah kenderaan. Sementara itu, siasatan kejadian masih lagi dijalankan.

Menurut kenyataan PPDB, hari ini, mangsa yang merupakan pemandu salah sebuah kenderaan telah mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan berkenaan dan telah dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait untuk menjalani pembedahan segera kerana menghadapi masalah kecederaan dalaman.

Selepas pembedahan, mangsa dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) untuk menjalani rawatan dan pemantauan penuh.

Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian organ dalaman mangsa.

Manakala itu, pemandu kenderaan yang lain berada dalam keadaan yang stabil.

Sehubungan itu, pihak polis mengingatkan para pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan menitikberatkan aspek keselamatan pemanduan, terutama sekali had laju, penglihatan yang jelas, sentiasa bersikap tolak ansur, lebih-lebih lagi pemanduan semasa waktu malam.

Kejadian kemalangan yang berlaku di Jalan Badas, Seria. – Gambar serahan PPDB