Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki 22 tahun didakwa ganggu keamanan

    Oleh Rafidah Jumat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Rakaman video yang mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan yang dimuat naik dalam sosial media pada 19 Mac lalu menyebabkan seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, kelmarin.

    Tidak ada pengakuan direkodkan daripada Mohammad Norhadzrin bin Mohammad Jamain, 22, di hadapan Pemangku Majistret Kanan Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abdul Rahman.

    Perbuatan tertuduh boleh dianggap mengganggu keamanan di bawah Seksyen 19 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30.

    Klip video berdurasi 36 saat itu memuatkan nasihat yang bertentangan dengan nasihat Kementerian Kesihatan yang sering menasihati orang ramai untuk mengamalkan penjarakkan sosial, termasuk membataskan hubungan antara individu bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

    Video itu menunjukkan tertuduh menggesa mereka yang takut mati untuk tinggal di rumah manakala mereka yang tidak mahu tinggal di rumah hanya perlu bersikap tenang.

    Dia juga mengkritik orang ramai kerana takut akan koronavirus sama seperti takut kepada Tuhan, yang mana hakikatnya koronavirus itu buatan manusia.

    Video itu dimuat naik tertuduh dalam akaun Instagram miliknya pada 19 Mac 2020.

    Pejabat Peguam Negara mengingatkan orang ramai bahawa apa jua penerbitan yang mungkin menyebabkan gangguan keamanan merupakan satu kesalahan yang membawa hukuman denda sehingga $500.

    Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menerbitkan, menghantar atau mereka berita palsu dan maklumat salah mengenai Covid-19 kerana ini boleh dianggap sebagai kesalahan di bawah undang-undang termasuk Seksyen 34 Akta Ketenteraman Awam, Bab 148 yang membawa hukuman denda $3,000 dan penjara selama tiga tahun.

    Kes akan disebut lagi pada 28 Mac 2020. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hafizah binti Ahmad

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda