BRISBANE, Australia, 9 Mac – Seorang lelaki Australia berusia 42 tahun yang dikatakan menyamar sebagai Justin Bieber dalam talian untuk mencari gambar-gambar jelas daripada kanak-kanak, telah didakwa dengan lebih 900 kesalahan seks kanak-kanak, menurut polis hari ini.
Bieber, penyanyi pop Kanada berusia 23 tahun pada masa ini berada di Australia mengadakan persembahan jelajah ‘Purpose World Tour’. Polis memberi amaran kepada peminat-peminat muda dan ibu bapa mereka supaya lebih berhati-hati apabila menggunakan Internet.
Gordon Douglas Chalmers, seorang pensyarah undang-undang di Universiti Teknologi Queensland di Brisbane, telah didakwa pada November lalu dengan menggunakan Facebook dan Skype untuk menyamar sebagai bintang itu, selepas menerima maklumat daripada pihak berkuasa AS dan Jerman. Chalmers didakwa menggunakan perkhidmatan telekomunikasi untuk mendapatkan dan mempersiapkan kanak-kanak bagi seks dan untuk mendapatkan pornografi kanak-kanak. Dia juga didakwa memiliki porno kanak-kanak.
Ekoran waran yang telah dikeluarkan pada November lalu untuk memeriksa media sosial, akaun pesanan ringkas dan juga server cloud miliknya, Chalmers telah didakwa minggu ini dengan 931 lagi kesalahan seks kanak-kanak sejak sedekad lalu, termasuklah rogol dan menjadikan kanak-kanak bahan eksploitasi, menurut kenyataan polis.
“Hakikat bahawa begitu ramai kanak-kanak boleh percaya bahawa mereka berhubung dengan selebriti ini menekankan perlunya untuk berfikir semula dengan serius tentang cara kita sebagai masyarakat mendidik anak-anak kita tentang keselamatan dalam talian,” Detektif Inspektor Jon Rouse berkata dalam satu kenyataan. – AP