Lelaki 52 tahun didakwa cabul budak lelaki

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencabuli kehormatan seorang budak lelaki.

Tiada pengakuan dibuat oleh Haji Jamaluddin bin Haji Mohd Yassin atas pertuduhan mencabuli kehormatan budak lelaki berusia 14 tahun itu, dalam kejadian yang didakwa dilakukan dalam sebuah kenderaan pada Januari tahun ini.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Ahmad, siasatan masih dijalankan.

Majistret Dewi Norlelawati bin Haji Abdul Hamid menangguhkan kes bagi sebutan semula pada 23 Julai ini.

Tertuduh berhadapan hukuman penjara tiga hingga 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.