Lelaki acu parang dipenjara setahun, tiga sebatan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Seorang lelaki yang mengacukan parang dijatuhi hukuman penjara setahun berserta tiga kali sebatan selepas mengaku bersalah membawa senjata itu ke salah sebuah kafe rumah.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu mendengar daripada Timbalan Pendakwa Raya Affyian Abdul Rahman bahawa Saidee bin Mohammad Yassin, 44, telah mengayuh basikalnya bagi membeli nasi katok di sebuah rumah di Kampung Rimba untuk sarapan pagi.

Kira-kira 9:30 pagi 7 September lalu, tertuduh yang baru tiba telah melihat isterinya yang juga bekerja di kafe tersebut duduk bersama seorang lelaki yang tidak dikenali.

Tertuduh memesan sebungkus nasi untuk dibawa balik apabila melihat lelaki yang tidak dikenali itu melihatnya.

Ia tidak semena-mena membuatkan tertuduh marah dan segera pergi tanpa nasinya untuk pulang ke rumah bagi mengambil parang dan kembali ke kafe tersebut.

Ketika berada di kafe, tertuduh mengacukan parang kepada lelaki yang tidak dikenali tersebut sambil berteriak mengenai apa tujuan lelaki berkenaan melihatnya pada sebelumnya.

Lelaki itu terkejut dan pemilik kafe mendengar kekecohan yang mendorongnya untuk campur tangan.

Pemilik kafe menghentikan tertuduh dan menyuruhnya pergi, yang tidak lama kemudian diturutinya.

Pemilik kafe tersebut kemudiannya memohon maaf kepada lelaki yang tidak dikenali tersebut dan selepas itu dia telah membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan tertuduh.

Semasa siasatan, tertuduh berkata bahawa dia tidak dapat menahan amarahnya apabila lelaki tersebut melihatnya dan menyebabkannya bertindak membawa parang tersebut.