Lelaki asing mengaku cabul pekerja di kelab golf

Oleh Fadley Faisal

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Mahkamah Majistret di sini, telah menetapkan tarikh 13 Julai untuk menjatuhkan hukuman terhadap seorang lelaki warga Korea yang mencabul kehormatan seorang pekerja perempuan di sebuah kelab golf, di mana dia menjadi ahli.

Defendan, yang identitiya tidak didedahkan bagi melindungi mangsa, hari ini mengaku bersalah atas dakwaan mencabul kehormatan mangsa.

Peguam bela Pengiran Shahyzul bin Pengiran Abdul Rahman yang mewakili defendan, merayu supaya hukuman diringankan.

Dalam pada itu, Majistret Harnita Zelda Skinner sedang mempertimbangkan hukuman yang sesuai.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin mendedahkan di mahkamah mengenai kejadian yang membawa kepada pendakwaan defendan.

Pada 24 Julai 2019 pukul 4:30 petang, defendan berada di kelab golf berkenaan apabila dia pergi ke kawasan kaunter bar di mana mangsa duduk di belakang bangku.

Dia menyedari kehadiran defendan dan berdiri untuk mengambil barangan peribadinya dengan membongkokkan badan apabila tiba-tiba, defendan pergi ke sebelah kaunter dan mencabul kehormatan mangsa.

Mangsa terkejut, memarahi defendan dan menunjuk ke arah kamera CCTV.

Defendan melihat bahawa komunikasi tidak berkesan dan meninggalkan kawasan berkenaan untuk kembali ke padang golf.

Mangsa memaklumkan pihak pengurusannya dan membawa kepada laporan polis. Defendan menyerah diri kepada polis.