Lelaki Austria reka cerita pengganasan gara-gara cemburu

VIENNA, Austria, 3 Jan – Seorang lelaki Austria telah ditahan polis kerana menuduh seorang pelarian Syria sebagai pengganas serta mencetuskan satu operasi besar-besaran polis, hanya semata-mata kerana ‘cemburu,’kata pihak berkuasa.

Menurut pihak pejabat pendakwaraya di Bandar raya Innsbruck, dalam negeri Tyrol, lelaki berusia 61 tahun itu ditahan atas waran tangkap Eropah ketika melawat saudaranya di Romania pada 29 Disember lalu.

Suspek telah mencetuskan amaran pada November lalu apabila dia menghantar satu emel tanpa nama kepada kementerian dalam negeri serta mendakwa dia mempunyai maklumat bahawa seorang lelaki Syria yang berusia 29 tahun sebenarnya seorang komander Islamic State (IS) dan merancang untuk menyerang Innsbruck.

Bertindak atas maklumat tersebut, pegawai-pegawai daripada pasukan elit Austria ‘Cobra’ melakukan serbuan besar-besaran dan menahan lelaki Syria itu pada 26 November. Bagaimanapun mereka terpaksa membebaskan lelaki itu 24 jam kemudian selepas lelaki Austria (suspek) mengaku yang dia sengaja mereka-reka cerita untuk menghalang teman wanitanya daripada menghadiri satu acara dengan lelaki Syria itu. – AFP