Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencuri dua buah kereta.
Abdul Muezz bin Haji Wahab, 26, berdepan tuduhan mencuri sebuah kereta dari kawasan Pos Kawalan Polis, Istana Nurul Iman pada 17 Mei 2018 sekitar jam 8:30 malam.
Dia juga dituduh mencuri sebuah lagi kereta dari kawasan Blok J, Kampung Batu Bersurat antara 20 dan 21 Mei 2018.
Dia didakwa di bawah Seksyen 379, Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika didapati bersalah.
Dalam sebutan, kelmarin, tertuduh yang memakai baju tahanan polis ditegur oleh Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman kerana berkelakuan ‘biadab’ apabila cuba berkomunikasi dengan seseorang yang duduk di galeri awam semasa jurubahasa mahkamah sedang menerangkan mengenai ikat jamin kepadanya. Perbuatan tertuduh itu dianggap menghina mahkamah.
Majistret Hajah Ervy bagaimanapun, membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin dan menetapkan 29 Mei untuk sebutan seterusnya.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Elena binti Dato Paduka Haji Hairol Arni.