GENEVA, 10 Mac – Polis Switzerland hari ini memburu dua lelaki bersenjata yang menyerbu sebuah kafe di bandar Basel dan melepaskan tembakan, membunuh dua orang dan mencederakan orang ketiga.
Tidak ada butiran dikeluarkan mengenai suspek atau mangsa dan pendakwa berkata motif bagi serangan itu – di sebuah kafe kecil di kawasan kejiranan – tidak diketahui.
“Dua lelaki datang ke Cafe 56” sekitar jam 8:15 malam waktu tempatan (1915 GMT) “dan melepaskan tembakan beberapa kali,” kata polis di bandar cantik sungai Rhine di barat laut Switzerland.
“Dua pelanggan terbunuh. Yang lain dalam keadaan yang kritikal,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Penyerangnya melarikan diri dan menuju ke arah stesen landasan kereta api bandar selepas serangan.

“Punca di sebalik serangan itu belum diketahui dan akan disiasat,” kata pejabat pendakwa Basel dalam satu kenyataan.
Salah seorang penduduk di sekitar tersebut berkata kafe itu ‘sebelumnya terkenal dengan kaitannya kepada dunia dadah’.
“Namun sejak pemiliknya berubah beberapa tahun yang lalu ia menjadi sebuah kafe biasa,” kata penduduk kepada akhbar tempatan, Basler Zeitung.
Jalan bersebelahan kafe itu telah ditutup dan lalu lintasnya dilencongkan.
Jurugambar AFP di tempat kejadian menyaksikan polis berpakaian forensik putih mengambil bahan bukti di tapak itu awal hari ini. – AFP