Lelaki bersenjata bunuh anak lelaki hakim AS

NEW YORK, 20 JULAI – Seorang lelaki bersenjata yang menyamar sebagai pemandu penghantaran FedEx menembak mati anak lelaki hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan mencedera suaminya dalam satu serangan semalam di rumah mereka di New Jersey, kata laporan.

Hakim Esther Salas tidak mengalami kecederaan, kata ABC News. Anak lelaki Salas, Daniel Anderi, 20, ditembak mati apabila dia membuka pintu, kata ABC dan CNN, memetik satu sumber.

“Dia ditembak di jantung,” beritahu datuk bandar Brunswick Utara, Francis Womack, kawan hakim, kepada ABC.

Suami hakim, Mark Anderl, seorang peguam bela jenayah dan bekas pendakwa, berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil setelah menjalani pembedahan, lapor akhbar New Jersey Globe.

Pejabat FBI Newark berkata di Twitter mereka sedang ‘menyiasat kejadian tembakan yang berlaku di rumah Hakim Esther Salas’ dan sedang mencari seorang suspek.

Lelaki bersenjata nampaknya berpakaian sebagai pemandu FedEx, menurut laporan memetik sumber penguatkuasaan undang-undang.

Motif pembunuhan masih tidak jelas.

Hakim Salas, 51, ialah wanita Hispanic pertama yang berkhidmat sebagai hakim daerah persekutuan di New Jersey dan dilantik memegang jawatan sekarang oleh Presiden Barack Obama pada 2010. – AFP