Lelaki bersenjata mengamuk, bunuh 16

MONTREAL, 20 APRIL – Seorang lelaki bersenjata api yang memandu sebuah kenderaan dibuat seakan-akan kereta polis, membunuh sekurang-kurang 16 orang dalam satu kejadian amuk di Atlantik, Kanada, kata polis persekutuan semalam.

Dalam insiden disifatkan kes terburuk seumpamanya dalam sejarah Kanada itu, penyerang dikenal pasti sebagai Gabriel Wortman, 51, ditembak mati oleh pihak berkuasa selepas diburu selama 12 jam di wilayah Nova Scotia yang berakhir pagi semalam.

Antara mangsa terkorban ialah seorang konstabel wanita veteran dalam pasukan Polis Diraja Kanada (RCMP), yang mengendalikan penguatkuasaan undang-undang perbandaran dan wilayah di lokasi itu.

Polis berkata, suspek melarikan diri sejak malam Sabtu selepas mereka dimaklumkan bahawa ada tembakan dilepaskan di bandar Portapique yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Halifax.

CBC memetik Pesuruhjaya RCMP, Brenda Lucki, sebagai berkata polis mengenal pasti sekurang-kurang 16 mangsa, selain suspek.

Pegawai Pemerintah RCMP Nova Scotia, Penolong Komisioner Lee Bergerman, dalam Facebook pasukan berkenaan pula berkata kejadian yang berlaku semalaman hingga pagi semalam adalah sukar difahami dan banyak keluarga kehilangan insan tersayang.

Beberapa mangsa ditemui di kedua-dua bahagian luar dan dalam sebuah rumah, sekali gus menyaksikan polis melancarkan pemburuan ke atas suspek secara besar-besaran.

“Pemburuan itu berakhir pagi ini apabila suspek berjaya dikesan. Saya boleh mengesahkan bahawa dia telah mati,” kata Ketua RCMP, Superintendan Chris Leather, pada sidang media. – AFP

Pekerja memindahkan mayat dari stesen minyak di Enfield, Nova Scotia pada 19 April. – AP