Saturday, December 7, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki bolos kuarantin, jumpa adik sendiri

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang didakwa melarikan diri daripada kuarantin di pusat pengasingan telah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini.

    Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman akan menjatuhkan hukuman ke atas Mohammad Hadi bin Abdullah esok, 6 Oktober 2021.

    Mohammad Hadi juga mengaku bersalah atas pertuduhan kerana mengambil methylamphetamine pada 6 September 2018 lalu. Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff mendedahkan bahawa tertuduh diuji positif COVID-19 dan menjalani perintah kuarantin di pusat pengasingan di Mahad Islam Brunei, Tutong bermula 18 September.

    Perbuatan tertuduh itu terdedah pada 25 September, ketika seorang pegawai melaporkan diri bertugas dari 6 pagi hingga keesokan harinya. Pegawai berkenaan kemudian meninjau rakaman CCTV dan menemui rakaman dari malam sebelumnya yang menunjukkan tertuduh berjalan pulang ke premis melalui perkarangan belakang jam 10:09 malam dan segera melaporkan penemuan tersebut kepada Balai Polis Tutong.

    Semasa siasatan polis, identiti tertuduh dapat dikenal pasti dengan bantuan petugas barisan hadapan dan pesakit lain, namun tertuduh tidak dapat ditahan kerana masih lagi dalam tempoh kuarantin.

    Pusat pengasingan di Mahad Islam Brunei, Tutong. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Setelah tamat kuarantin pada 26 September dari pusat pengasingan tersebut, tertuduh ditangkap.

    Semasa siasatan tertuduh mengaku keluar untuk mengambil makanan iaitu kentang dan filet ikan yang dipesan melalui runner.

    Dia telah mengaturkan perjanjian dengan runner untuk bertemu di tempat letak kereta Hua Ho Petani Mall pada 24 September pukul 10 malam.

    Pada malam itu, katanya, dia meninggalkan bilik pengasingannya dan menuju ke
    arah belakang bangunan, melalui kawasan di mana tidak ada orang yang bekerja di sana pada waktu itu.

    Dia keluar dari kawasan itu dan berjalan menuju pintu pagar yang didapatinya tidak terkunci dan menuju ke kawasan terbuka, kemudian terus berjalan menuju pintu utama di mana terdapat kanvas terbuka dan membolosinya untuk keluar dari perkarangan pusat pengasingan.

    Ketika keluar, tertuduh tidak memakai pelitup muka dan tidak membawanya bersama.

    Tertuduh kemudian berjalan menuju ke tempat letak kereta Hua Ho Petani Mall di mana dia bertemu dengan runner.

    Dia mengambil pesanan tersebut dan kembali ke pusat pengasingan dengan melalui laluan yang sama tanpa dapat dikesan, namun terakam dalam kamera CCTV.

    Tertuduh pada awalnya mendakwa bahawa dia tidak mempunyai maklumat mengenai siapa runner itu tetapi telah memberikan nombor telefon kepada polis.

    Dia menambah bahawa ia adalah kali pertama dan hanya kali itu dia berurusan dengan runner berkenaan.

    Berdasarkan maklumat itu, pegawai penyiasat menghubungi nombor yang diberikan oleh tertuduh dan yang mengejutkannya, nombor itu adalah milik ibu tertuduh. Ini mendorong polis untuk menyiasat lebih lanjut mengenai perkara itu.

    Setelah siasatan lanjut, tertuduh akhirnya mengakui bahawa runner yang dirujuknya itu sebenarnya adalah adik perempuannya yang menyerahkan bekalan makanan kepadanya seperti mi segera dan sebotol minuman.

    Dia juga mengakui bahawa nombor telefon yang diberikannya adalah milik ibunya tetapi enggan mengatakannya kerana dia tidak mahu melibatkan keluarganya.

    Sementara itu, fakta kesalahan pengambilan dadah menyatakan dia ditangkap, bersama individu lain, dalam serbuan oleh pegawai Biro Kawalan Narkotik (BKN) pada pukul 8:50 pagi 6 September 2018 di sebuah rumah di Jalan Laila Bentara, STKRJ Mumong, Kuala Belait.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda