Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Lelaki buat senjata untuk menakutkan haiwan kena 5 tahun

    Oleh Ak Zaki Kasharan 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Mahkamah Majistret, kelmarin, telah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun serta tiga kali sebatan ke atas seorang lelaki penduduk tetap berusia 47 tahun selepas mengaku bersalah memiliki senapang buatan sendiri.

    Menurut Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli, Rosli @ Roslin bin Mohamad ditahan di rumahnya di Kampung Burong Pinggai, Mukim Sungai Kebun, Kampong Ayer pada 3 Julai, jam 8 pagi ketika anggota polis yang menjadi sebahagian daripada operasi penguatkuasaan undang-undang bersama menemui senjata buatan sendiri itu semasa menjalankan pemeriksaan di kediaman tersebut.

    Pihak berkuasa juga menemui bahagian lain senjata.

    Rosli mendakwa di mahkamah bahawa tujuannya membuat senjata yang dipelajarinya dari YouTube adalah untuk menakutkan haiwan. Dia turut mendakwa tidak tahu bahawa lesen diperlukan untuk membuat senapang sedemikian.

    Majistret Nur Eleana binti DSP Haji Hairol Arni, ketika menjatuhkan hukuman berkata kejahilan undang-undang bukan pembelaan atau alasan.

    “Walaupun alat itu tidak bertujuan untuk mencederakan sesiapa, ia masih merupakan senjata yang boleh digunakan dan disalahgunakan,” jelas Majistret Nur Eleana.

    Mahkamah seterusnya mengulangi, amalan mencipta senapang buatan sendiri mesti dihalang bagi mengelakkan sebarang ancaman terhadap keselamatan awam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...