Lelaki bunuh 5 ahli keluarga jalani hukuman mati

WASHINGTON, 7 FEB – Texas semalam menjalankan hukuman mati ke atas seorang lelaki yang membunuh lima ahli keluarga termasuk dua anaknya pada 2002 dalam apa yang dikatakan oleh peguamnya sebagai racauan yang dicetuskan oleh kokain.

Abel Ochoa, 47, diberikan suntikan maut di penjara Huntsville di utara Houston dan disahkan mati pada pukul 6:48 petang, kata pegawai penjara Texas.

Menurut dokumen daripada mahkamah, pada pagi Ahad selepas pulang dari gereja pada Ogos 2002, Ochoa meminta wang daripada isterinya untuk membeli kokain. Selepas pertengkaran, isterinya memberikannya AS$10.

Selepas menghisap dadah, Ochoa kembali ke rumah, merampas sepucuk senapang dan menembak isteri, dua anak perempuan mereka – berusia sembilan bulan dan tujuh tahun – bapa mertua dan adik ipar perempuan.

Seorang lagi adik ipar perempuan selamat dalam kejadian itu tetapi kehilangan satu buah pinggang.

Ditahan sejurus selepas itu semasa memandu kereta isterinya, Ochoa memberitahu pegawai ‘bahawa senapang yang digunakannya berada di rumah di atas meja, bahawa dia tidak dapat mengendali tekanan dan dia sudah bosan dengan hidupnya,” menurut dokumen mahkamah.

“Saya mahu meminta maaf kepada keluarga mertua saya kerana mengakibat penderitaan emosi ini,” adalah antara kata-kata terakhir Ochoa. – AFP