Lelaki bunuh kucing dipenjara 34 bulan

KUALA LUMPUR, 6 NOV – Seorang pekerja kontrak yang memasukkan seekor kucing bunting di dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri, kelmarin dihukum penjara 34 bulan dan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang.

Hakim Rasyihah Ghazali mengenakan hukuman itu terhadap K Ganesh, 42, apabila mendapati tertuduh bersalah atas tuduhan itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Selepas membuat penilaian maksimum terhadap hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan mahkamah mendapati tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan,” katanya dan memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara tambahan empat bulan jika gagal membayar denda itu.

Beliau berkata dalam kes itu, tertuduh adalah individu yang memasukkan kucing dan mengunci mesin pengering pakaian di sebuah dobi.

“Saya harap hukuman ini dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak menzalimi binatang,” katanya.

Lelaki itu bersama-sama seorang lagi yang didakwa dengan kejamnya atau secara tidak munasabah membuat atau meninggalkan untuk melakukan apa-apa perbuatan menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis dobi di Taman Gombak Ria, Batu Caves, di sini antara jam 12.54 tengah malam dan 1 pagi, pada 11 September 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ini adalah kes pertama mengikut akta berkenaan sejak ia berkuat kuasa pada Julai 2017. – Bernama