Lelaki cetus kekecohan didakwa

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Lelaki yang menimbulkan kekecohan di pasar malam Gadong, yang mana rakaman video insiden tular di media sosial WhatsApp, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tidak ada pengakuan direkodkan dari Adi Farid Riswandi bin Idris, 31, di hadapan Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim.

Tertuduh didakwa mengangggu dan menyerang seorang lelaki di kawasan pasar malam pada 7 Julai 2019 kira-kira jam 8 malam, yang mana kesalahan ini memperuntukkan denda di bawah Seksyen 290 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 jika didapati bersalah.

Dia juga berdepan pertuduhan melakukan khianat dengan menyebabkan kerosakan pada but kereta Suzuki MPV milik mangsa dengan menendangnya, dan didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli memohon penangguhan kes bagi siasatan lanjut dijalankan terhadap tertuduh.

Kes akan disebut semula pada 23 Julai 2019.