SINGAPURA, 11 Okt 2008 -Rayuan seorang pencabul yang dihukum penjara 14 tahun dan sebat 18 kali ditangguhkan kerana dia dihantar ke Institut Kesihatan Mental bagi pemeriksaan penuh.
Mohammed lsmail Ariffin, 36, yang mempunyai obsesi menyentuh dan menghidu mangsanya, termasuk ketiak mereka, didapati bersalah terhadap 10 tuduhan mencabul.
Dia dikenakan penahanan pencegahan, iaitu hukuman penjara lebih berat bagi banduan degil dan berulang serta tidak menawarkan pembebasan awal.
Mohammed Ismail, yang mempunyai tahap kecerdasan (IQ) rendah, melakukan pelbagai pencabulan terhadap 23 mangsa berumur antara sembilan dengan 53 tahun antara September 2006 dan Februari lalu ini di estet HDB di Marsiling dan Woodlands.
Dalam beberapa kejadian, dia mengancam mangsa dengan mendakwa dia mempunyai pisau atau akan memukul mereka.
Hakim Besar Chan Sek Keong berkata kesalahan Mohammed Ismail tidak mendedahkan sifat ganasnya yang sebenar. “Dia membuat ancaman tetapi tiada apa-apa yang berlaku,” katanya.
Dia berkata sebaliknya Mohammed lsmail menunjukkan, antara lain, tindakan mencium ketiak mangsa, yang menunjukkan ‘ada sesuatu yang amat tidak kena dengannya’.