Friday, December 8, 2023
26.6 C
Brunei

    -

    Lelaki cuba curi wang bank kena penjara, sebat

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang cuba untuk mencuri wang dari mesin di sebuah bank bulan lalu dijatuhi hukuman penjara dua tahun empat bulan, dengan dua kali sebatan.

    Hakim Mahkamah Perantaraan Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni juga memerintahkan Abdul Harizzul Haziq bin Haji Darwin membayar pampasan sebanyak $3,385 kepada pihak bank, atau menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga bulan jika gagal membayarnya.

    Jumlah tersebut adalah untuk membayar ganti rugi atas kerosakan mesin bank.

    Defendan mengaku salah kerana menceroboh, dengan memasuki dan secara tidak sah berada di dalam sebuah bank di Mentiri dengan niat untuk mencuri.

    Fakta kes Pendakwa Sabrina binti Haji Mahmud menyatakan bahawa selepas waktu tengah malam pada 4 Julai, defendan pergi ke sebuah bank untuk meninjau kawasan berkenaan dengan rancangan untuk mencuri dari sebuah mesin di bank itu.

    Pada 6 Julai, jam 2 pagi, defendan kembali ke bank tersebut untuk melaksanakan rancangannya, tetapi kali ini, bersama rakan sejenayah, dengan menaiki kereta defendan.

    Semasa berada di bank tersebut, defendan memasuki kawasan mesin membawa bersama engkol tayar manakala rakan sejenayahnya mengawasi di pintu masuk bank.

    Defendan pergi ke salah sebuah mesin yang diletakkan di bahagian paling kiri bank dan menggunakan engkol tayar untuk mengumpil bahagian pintu luar mesin sehingga ia sedikit terbuka.

    Defendan kemudian mengeluarkan tali dari keretanya, lalu masuk semula ke dalam bank dan mengikat tali itu pada pemegang pintu luar mesin tersebut dan mengikat hujung tali yang satu lagi pada keretanya. Defendan kembali ke keretanya dan duduk di tempat duduk penumpang manakala rakan subahatnya memandu untuk membuka pintu luar mesin namun, tali itu terputus.

    Setelah tidak berjaya membukanya, defendan kemudiannya mencuba sekali lagi dengan menggunakan pemutar skru.

    Apabila ia dibuka, defendan berjaya mengangkat penutup mesin itu dan menyebabkan penggera mesin berbunyi. Mendengar bunyi tersebut, defendan menjadi takut, mengemas peralatannya dan berlari ke keretanya. Defendan dan rakan subahatnya kemudian memandu ke belakang bangunan komersial untuk bersembunyi.

    Kira-kira setengah jam kemudian, selepas penggera senyap, defendan dan rakannya kembali ke bank berkenaan. Kali ini, defendan membawa dan menggunakan pemutar skrunya serta cuba membuka mesin itu sekali lagi. Penggera berbunyi lagi yang menyebabkan defendan dan rakan subahatnya melarikan diri daripada bank dengan tangan kosong.

    Pagi itu, seorang pekerja di AEGIS Maintenance menerima mesej dari Bilik Kawalan AEGIS memaklumkan bahawa bank memerlukan kerja penyelenggaraan. Sebaik tiba di bank itu, pekerja AEGIS mendapati penutup mesin itu terbuka dan terus memfailkan aduan ke Bilik Kawalan AEGIS dan menutupnya daripada kegunaan orang awam.

    Polis tiba di lokasi kejadian dan menjalankan siasatan serta membawa kepada penahanan defendan. Defendan mengaku melakukan perbuatan itu untuk membayar tunggakkan keretanya.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Undang-undang pilihan raya Hong Kong baharu tipiskan kumpulan calon

    HONG KONG, 8 DIS - Salah seorang ahli majlis pro-demokrasi Hong Kong yang paling lama berkhidmat menganjurkan parti perpisahan dengan penduduknya pada akhir Disember....