DARWIN, Australia, 20 Jan – Lelaki berusia 47 tahun dibaham buaya ketika cuba menyeberangi sungai banjir di hutan utara Australia, menurut polis hari ini.
Lelaki itu menyeberangi Sungai East Alligator di Wilayah Utara bersama dua orang wanita semalam apabila dia hilang di Penyeberangan Cahill berhampiran Taman Negara Kakadu yang disenaraikan dalam Warisan Dunia, menurut kenyataan polis.
Kedua-dua wanita itu yang dengan selamatnya berjaya menyeberang sungai itu kemudian melaporkan tentang kehilangan lelaki itu. Pihak polis dan renjer menemukan mayat di hilir lewat semalam berhampiran buaya berukuran 3.3 meter.
Buaya itu ditembak mati dan mayat lelaki itu dibawa ke bandar Darwin bagi bedah siasat.
Ketiga-tiganya tinggal di kawasan berhampiran masyarakat Aboriginal, menurut laporan media.
Tempat penyeberangan itu adalah tempat menangkap ikan yang terkenal bagi ikan berharga, barramundi, tetapi juga menarik perhatian buaya dan juga pengail.
Pihak berkuasa kecewa dengan risiko yang diambil oleh sebilangan orang berhampiran sungai itu meskipun seorang pemancing pernah dibaham kepalanya oleh seekor buaya besar di penyeberangan itu pada tahun 1987.
“Papan tanda memberi amaran supaya jangan berenang atau malah memasuki air di Penyeberangan Cahil. Begitu banyak tumpuan media tentang penyeberangan itu. Orang terus melakukannya,” Sarjan Polis Bob Harrison memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia. – AP