Lelaki dicekup curi kabel

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Seorang lelaki penduduk tetap telah dicekup ketika menggali kabel di salah satu tiang elektrik di kawasan Lebuh Raya Telisai Tutong.

Suspek berusia 36 tahun yang ditahan oleh anggota dari Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), juga dipercayai terlibat dengan kegiatan curi kabel milik harta kerajaan di beberapa kawasan di Daerah Tutong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, beberapa peralatan dan perkakas untuk kegiatan mencuri kabel itu telah dirampas dan dijadikan bahan bukti kertas penyiasatan.

Suspek bersama barang bukti dibawa ke Balai Polis Tutong bagi siasatan lanjut. Kenyataan menekankan, melakukan kegiatan curi boleh didakwa di bawah Seksyen 379, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan di bawah Seksyen 427 melakukan kerosakan atas harta benda pula membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, PPDB menyeru orang ramai untuk sentiasa mengongsikan sebarang maklumat yang melibatkan kegiatan jenayah melalui talian 993 atau pun ke balai-balai polis yang berdekatan.

Peralatan dan perkakas yang digunakan untuk kegiatan mencuri kabel.
Gambar menunjukkan kabel yang dicuri.