Lelaki didakwa menipu, pengubahan wang haram

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Seorang lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana memperdaya orang awam untuk membuat pelaburan dan pengubahan wang

Polis Konstabel 5953 Mohamad Azri Al Azhar Edham Khalid, 29, mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan menipu dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Timbalan Pendakwa raya Dayangku Didi-Nuraza Pengiran Latiff mengemukakan kes terhadap defendan didakwa menipu dua orang mangsa untuk mengeluarkan wang berjumlah $1,300 dan menawarkan skim pelaburan tidak spesifik.

Tertuduh seterusnya juga dikatakan telah menipu wang berjumlah $30,400 daripada seorang mangsa dengan berpura-pura dapat melaburkan wang itu dalam perniagaan Forex.

Mangsa mendakwa kejadian tersebut berlaku pada bulan Jun 2018, dengan defendan menjanjikan pulangan bulanan sejak itu untuk setiap urus niaga yang dibuatnya dengan mangsa.

Dakwaan lanjut menyatakan bahawa defendan memindahkan wang berjumlah $15,860 ke akaun bank isterinya, dalam tiga transaksi pada Jun 2018. Pertuduhan menipu membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, manakala pertuduhan di bawah Perintah Pemulihan Aset Jenayah masing-masing membawa denda sekurang-kurangnya $500,000 dan penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya.

Majistret Dewi Norlelawati Haji Abdul Hamid memerintahkan kes bersidang semula pada 9 Februari depan sambil mengenakan ikat jamin terhadap defendan.