Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Seorang lelaki warga tempatan yang berdepan dakwaan melakukan rompakan bersama sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 43 tahun pada 2015, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Muhammad Zulkifli bin Abdul Jalil, 29, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Pandan 7, Kuala Belait pada 20 Mei 2015 bersama rakannya yang sudah meninggal dunia.
Tertuduh pertama kali didakwa di Mahkamah Majistret pada 2 Disember 2015.
Perbicaraan terhadapnya akan bermula dari 5 Mac hingga 4 April tahun depan di hadapan Hakim Dato Paduka Steven Chong dan Hakim Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 396 Kanun Keseksaan, Penggal 22.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Haji Kamaluddin dan Siti Nurjauinah binti Haji Kula manakala tertuduh diwakili Peguam Ahmad Basuni.