Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini bagi menghadapi pertuduhan melibatkan serangan terhadap ibu dan kakaknya.
Bagaimanapun, tiada pengakuan dibuat oleh Sanj bin Awang Shahlan yang didakwa menyerang ibunya berumur 56 tahun dan kakaknya yang berumur 35 tahun.
Dia juga didakwa mengugut untuk membunuh kakaknya dan melakukan perbuatan khianat dengan menyebabkan kerosakan pada pintu bilik tidur rumah keluarganya.
Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah binti Abdul Rahman memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak polis memerlukan masa untuk menyelesaikan siasatan, termasuk memastikan laporan perubatan mengenai kecederaan dialami mangsa.
Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman memerintahkan defendan ditahan reman dan menangguhkan kes hingga 3 November.