Lelaki didenda lebih $80,000

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Seorang lelaki diperintahkan oleh Mahkamah Majistret di sini, untuk membayar denda $86,340 atas kesalahan memiliki rokok dan minuman keras yang tidak diisytiharkan kepada pihak kastam.

Jika gagal membayar denda itu, Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman mengarahkan Effendi bin Haji Yusof, 50, untuk menjalani hukuman 24 bulan penjara.

Dia didakwa memiliki 24 botol arak, dua tin minuman keras dan lima paket rokok di sebuah rumah di Kampung Perpindahan Lambak Kanan, pada 28 Februari 2012.

Dia juga menghadapi tuduhan memiliki 103 karton rokok dan sejumlah minuman keras di dalam keretanya ketika ditahan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 7 Jun 2013.

Dia juga berdepan dakwaan memiliki 16 botol minuman keras dan 181 karton rokok dalam keretanya ketika pemeriksaan di Pos Kawalan Kuala Lurah pada 7 Ogos 2013.