Lelaki dihukum mati tikam pegawai pusat pemeriksaan

BEIJING, 2 MAC – Mahkamah China menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki kerana menikam dua orang pegawai di pusat pemeriksaan bagi mengawal penyebaran COVID-19.

Virus berkenaan yang kini menjangkiti lebih 80,000 orang dan membunuh hampir 3,000 orang di tanah besar China, mendorong pemeriksaan suhu dilakukan secara meluas, sekatan perjalanan, pemeriksaan kediaman dan penutupan di seluruh negara diadakan.

Kebanyakan penduduk dan komuniti turut melakukan sekatan dan langkah keselamatan bagi mengelakkan mereka keluar daripada kawasan, bimbang bahawa pelancong luar boleh memberi jangkitan kepada komuniti mereka.

Semalam, mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas lelaki berusia 23 tahun kerana menikam dua pegawai di satu pusat pemeriksaan.

Insiden berkenaan berlaku pada 6 Februari lalu apabila Ma Jianguo sedang memandu mini van melalui pusat pemeriksaan berkenaan di perkampungan Luo Meng di Honghe, barat daya wilayah Yunnan dan dia ditahan sebentar.

Namun Ma enggan memberikan kerjasama dan penumpang mini van itu bertindak mengalihkan sekatan jalan raya dan pegawai bertugas merakam perbuatannya, kata mahkamah.

Perbuatan itu membuatkan Ma marah dan menikam pegawai itu di dada dan perut dengan pisau yang dibawa, kemudian menyerang seorang lagi pegawai yang ingin memberi bantuan.

Dua pegawai berkenaan mati akibat cedera parah.

Dalam kenyataan mahkamah, walaupun Ma secara sukarela menyerah diri dan mengaku perbuatannya, tetapi tindakan membunuh itu dianggap sangat kejam. – AFP