Wednesday, November 6, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lelaki dikehendaki ditahan, tipu hampir AS$14 bilion

    JAKARTA, 10 OKT – Pihak berkuasa Indonesia berkata hari ini, mereka telah menahan seorang lelaki yang dikehendaki di China atas dakwaan menipu puluhan ribu orang dengan jumlah kira-kira AS$14 bilion.

    Lelaki itu, yang dicari oleh China sejak 2020, ditahan di pulau peranginan Bali pada 1 Oktober sebelum dia menaiki penerbangan ke Singapura, kata Ketua Pengarah Imigresen Indonesia, Silmy Karim, pada sidang akhbar.

    Lelaki berusia 39 tahun itu dikenali sebagai LQ atau nama samaran JL.

    Pihak berkuasa Indonesia telah menerima notis merah Interpol September lalu selepas lelaki itu tiba dari Singapura, kata Silmy.

    Beliau berkata lelaki itu memasuki Indonesia menggunakan pasport Turkiye tetapi ditahan selepas pihak berkuasa mengenal pastinya dengan menggunakan sistem pengecaman muka yang digunakan di pintu imigresen Indonesia, kata Silmy.

    Silmy berkata, lelaki itu dikehendaki di China atas dakwaan skim Ponzi pada 2020 yang menipu kira-kira 100 bilion yuan China (AS$14.1 bilion) daripada 50,000 mangsa.

    Lelaki itu direman dalam tahanan polis hari ini, di mana pihak berkuasa Indonesia akan menghubungi rakan sejawatan mereka dari Turkiye dan China untuk mengesahkan identitinya sebelum memutuskan sama ada untuk menghantarnya pulang ke China.

    “Kita mesti mengesahkan statusnya,” kata ketua bahagian hubungan antarabangsa polis Indonesia, Krishna Murti. – AFP

    Seorang lelaki dikenali sebagai LQ alias JL, diiringi ketika dia diserahkan daripada pihak imigresen kepada polis di Jakarta pada 10 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda