Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun telah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dakwaan mencuri dan merosakkan harta bangunan.
Mohd Azwa’an bin Karim disabit bersalah di bawah Seksyen Curi 379 dan Rosak Barang 426 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan hukuman penjara ke atasnya bermula hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Mohd Azwa’an ditahan setelah didapati terlibat melakukan kegiatan jenayah berkenaan di salah sebuah restoran di kawasan Berakas.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek menyungkit pintu kabel elektrik menggunakan alat pemotong tajam sebelum memotong dan mengambil kabel elektrik tersebut.
Kabel-kabel berkenaan kemudiannya dijual di bengkel besi buruk di kawasan Kampung Burong Pingai, Berakas pada harga $50.
PDB menyeru kepada orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama atau tampil ke mana-mana balai polis untuk mengongsi sebarang maklumat yang berbentuk tindakan segera, siasatan, pencegahan mahu pun pembanterasan.
Dengan penyaluran maklumat yang berharga berkenaan akan memberi kesan yang tinggi dalam penurunan kadar jenayah di negara ini.




























