Lelaki dipenjara 12 bulan, tiga sebatan tinggal melebihi tempoh

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Seorang lelaki warga Malaysia yang tinggal melebihi masa yang dibenarkan setelah pas lawatan yang dikeluarkan kepadanya tamat tempoh, dijatuhi hukuman 12 bulan penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini.

Pemangku Majistret Kanan Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Soffian bin Abdul Rahman, 44, yang mengaku bersalah tinggal di negara ini selama 1,819 hari, dari 14 Mac 2015 sehingga 5 Mac 2020 tanpa alasan yang munasabah.

Tertuduh diberkas sepasukan penguatkuasa imigresen dalam ‘Operasi Pumpung JIPK 43/2020’ yang mensasarkan rumah sewa di Kampung Kilanas.

Dalam operasi kira-kira jam 2:05 pagi pada 5 Mac 2020, tertuduh didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen sah dan mendakwa pasport miliknya hilang sekitar tahun 2017.

Mahkamah turut dimaklumkan bahawa siasatan dalam sistem imigresen menunjukkan tertuduh kali terakhir memasuki Brunei Darussalam pada 11 Februari 2015 melalui Pos Kawalan Kuala Lurah dan dikeluarkan pas lawatan yang sah sehingga 13 Mac 2015 sahaja, dan tidak ada lanjutan tempoh dibuat selepas tarikh ini.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat Pegawai Pendakwa Imigresen, Pengiran Norariffin bin Pengiran Haji Hashim.