Lelaki dipenjara empat bulan, tiga sebatan tinggal melebihi tempoh

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Seorang lelaki warga Indonesia dihukum empat bulan penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret, kelmarin, atas kesalahan tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman memutuskan hukuman terhadap Kaswin, 30, yang mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal di negara ini tanpa sebab yang munasabah selepas pas lawatannya mansuh pada 12 Julai 2019.

Tertuduh ditahan sepasukan penguatkuasa imigresen yang menjalankan operasi di tempat letak kereta Driving Range, Kelab Golf Pantai Mentiri, selepas disyaki memiliki pas imigresen yang tidak lagi sah tempoh.

Siasatan di imigresen mendapati tertuduh tiba di negara ini pada 28 Jun 2019 di bawah pas lawatan yang diberikan sehingga 12 Julai 2019 sahaja, dan tidak ada tempoh lanjutan dibuat selepas tarikh tersebut.

Tertuduh didapati tinggal di negara ini selama 230 hari sehingga diberkas pada 27 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat Pegawai Pendakwa Imigresen, Adi Yusra bin Haji Adanan.