Lelaki dipenjara letak pisau di meja putera raja

TOKYO, 14 FEB – Seorang lelaki Jepun yang meletakkan dua pisau dapur di meja sekolah Putera Jepun, Hisahito dijatuhi hukuman penjara 18 bulan pada hari ini.

Bagaimanapun, hukuman itu digantung selama empat tahun, beritahu jurucakap mahkamah daerah Tokyo kepada AFP.

Kaoru Hasegawa ditahan pada April kerana disyaki memasuki premis sekolah menengah rendah di mana putera Jepun itu belajar, tanpa kebenaran.

Lelaki itu juga dituduh melanggar peraturan undang-undang senjata api Jepun.

Ketika kejadian, putera tunggal Putera Fumihito dan Puteri Kiko itu tiada di sekolah terbabit. Pisau berkenaan yang diletakkan di atas mejanya ditemui pegawai sekolah berkenaan.

Hisahito, 13, adalah anak saudara Maharaja Naruhito dan berada di kedudukan kedua sebagai pewaris takhta.

Dalam prosiding, hakim berkata jenayah yang dilakukan lelaki itu bersifat pentingkan diri dan sengaja meraih perhatian.

“Tiada ruang untuk kelonggaran (hukuman),” kata hakim dipetik berdasarkan stesen penyiaran NHK.

Insiden terbabit berlaku ketika pihak berkuasa meningkatkan kawalan selepas Maharaja Akihito melepaskan takhta selepas 30 tahun memerintah.

Ancaman terhadap empayar keluarga diraja itu jarang berlaku.

Pada 1975, Akihito hampir dipukul dengan bom petrol di Okinawa, lokasi pertempuran Perang Dunia Kedua yang mempunyai sentimen kuat anti-maharaja. – AFP