Lelaki dipenjara, sebat akibat pecah masuk

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Seorang lelaki yang mengaku bersalah memecah masuk rumah dan mencuri telah dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan empat sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini, kelmarin.

Hukuman terhadap Hasmyzan Hamzi bin Haji Hashimi, 33, diputuskan Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar yang mengambil kira jumlah keseluruhan kesalahan tertuduh.

Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh mencuri sebuah kereta dari kawasan kedai tayar di Jalan Negara, Kuala Belait pada 16 September 2019 antara jam 1 dan 6:30 pagi.

Dia juga memecah masuk premis perniagaan dalam kejadian sekitar September 2019 antara jam 1 dan 4:30 pagi, dan mencuri lima televisyen.

Dia juga memecah masuk rumah di Jalan Jaya Negara dalam kejadian antara 22 April dan 8 Mei 2020, dan mencuri komputer dan beberapa peralatan seperti alat dengar, teleskop hiasan, lampu suluh, skrin LCD dan kunci kereta.

Tertuduh juga mencuri satu unit bateri kereta di kawasan Jalan Sungai Pandan antara 1 dan 4 Mei 2020, dan menjualnya pada harga $3.

Menurut catatan, tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali.