Lelaki diratah 18 anjing peliharaan

DALLAS, 11 JULAI – Seorang lelaki warga Texas yang telah hilang  sejak beberapa bulan yang lalu dipercayai dibaham, tulang dan tubuhnya, oleh beberapa ekor anjing peliharaannya, menurut timbalan sherif.

Pemeriksa perubatan berkata pada Selasa lalu bahawa ujian DNA menentukan bahawa kepingan tulang yang ditemui dari kotoran anjing adalah milik Freddie Mack yang berusia 57 tahun, menurut Pejabat Sherif Johnson County.

Timbalan Sherif Aaron Pitts berkata 18 ekor anjing dipercayai memakan keseluruhan tubuh Mack termasuk pakaian dan rambutnya serta hanya meninggalkan serpihan tulang sebesar tidak lebih daripada dua hingga lima inci.

“Kami tidak pernah mendengar kes seluruh badan manusia dimakan. Tulang mangsa habis sepenuhnya dimakan anjing.

Difahamkan, Mack mempunyai masalah kesihatan yang serius dan setakat ini masih tidak jelas sama ada anjing itu membunuh pemiliknya atau dia menjadi makanan haiwan berkenaan selepas meninggal dunia akibat masalah kesihatan.

Mei lalu, salah seorang ahli keluarga Mack melaporkan kehilangan mangsa dari rumahnya berhampiran Venus selepas tidak mendengar khabar daripada lelaki tersebut sejak pertengahan April.

Anjing-anjing yang agresif menghalang keluarga Mack daripada memasuki kawasan itu, dan turut menimbulkan masalah kepada pihak berkuasa.

Selepas beberapa hari usaha mencari dilakukan, polis menemui najis anjing yang mengandungi rambut manusia, pakaian dan tulang di kawasan semak. – AP

Gambar fail pada 20 Mei lalu menunjukkan kenderaan pegawai pemeriksa perubatan di perkarangan rumah Mack di Venus, Texas. – AP